Saturday, 5 March 2016

ISU TUN DR MAHATHIR DENGAN PEMBANGKANG



KENYATAAN MEDIA

YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Timbalan Perdana Menteri/Naib Presiden UMNO Malaysia

Apa yang berlaku petang kelmarin antara tokoh-tokoh politik utama negara seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Azmin Ali, Lim Kit Siang, Ambiga dan ramai lagi ternyata memeranjatkan banyak pihak terutamanya rakyat kebanyakkan.

Sememangnya tidak terjangkau dibenak fikiran rakyat kebanyakkan akan tindakan yang sebegitu dalam dan keras yang diambil oleh tokoh-tokoh berkenaan terutamanya yang berstatus negarawan yang hanya semata-mata cuba untuk mempengaruhi rakyat bagi menukar barisan kepimpinan negara sedia ada yang dipilih secara sah melalui pilihanraya melalui “jalan belakang” yang ternyata bertentangan dengan amalan demokrasi berperlembagaan. Ia adalah satu tindakan yang tidak masuk akal dan tidak berpaksikan kepada kebenaran.  




Sebagai rakyat Malaysia yang percaya kepada sistem demokrasi berparlimen yang telah diamalkan sejak negara ini mencapai kemerdekaan pada 1957, perlu akur bahawa sistem berkenaan mengizinkan rakyat memilih kerajaan menerusi proses pilihan raya.

Justeru, tindakan mahu menggulingkan kerajaan menerusi sistem di luar perundangan seperti yang berlaku pada 'Deklarasi Rakyat' adalah lebih kepada kehendak sekumpulan orang tertentu yang pernah memegang jawatan tinggi dalam parti dan pernah mengetuai parti kompenan BN sendiri, yang secara jelas mempunyai agenda tersendiri yang tidak sulit untuk rakyat tafsirkannya.

Perseikatan politik dengan mereka yang pernah berdemonstrasi di jalanan, menyokong pencerobohan dalam negara ini termasuk bersekongkol dengan kumpulan pengganas yang menceroboh di Lahad Datu, Sabah adalah suatu yang tidak boleh diterima sama sekali oleh rakyat. 

Justeru, saya menyeru kepada semua ahli parti tidak kira dalam UMNO mahupun dalam Barisan Nasional (BN) agar tetap bersatu dalam memperkukuhkan ikatan.

Kepada rakyat keseluruhannya, yakinlah bahawa kerajaan sentiasa komited dan fokus kepada usaha memastikan agenda pembangunan negara yang telah dirancang dapat dilaksanakan sebaiknya walaupun dilanda sedikit badai politik.

Sesungguhnya, kebajikan rakyat akan tetap menjadi keutamaan pimpinan negara dalam mendepani polemik politik kebencian melampau yang sengaja diwujudkan seperti ini yang boleh disifatkan sebagai satu keganasan persepsi yang dirancang secara tersusun oleh pihak-pihak terbabit.

Keys
Tun Dr Mahathir keluar UMNO

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...