1. Perjanjian dgn Dhaka utk membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh dalam tempoh 3 tahun nampaknya mencetuskan banyak kekeliruan di kalangan rakyat, pembangkang dan NGO yang tidak faham akan maksud dan kerangka rancangannya. Ia juga disalahtafsir sebagai mengenepikan peluang rakyat tempatan untuk bekerja di sektor yang bakal diisi oleh pekerja asing, khasnya dari Bangladesh.
2. Rancangan ini bukan untuk dilaksanakan dengan kadar segera kerana wujud beberapa perkara lain yang perlu ditangani terlebih dahulu, seperti berikut;
- menguruskan kepulangan secara sukarela mereka yang dikategorikan sebagai pendatang asing tanpa izin atau PATI,
- menubuhkan bank data bagi mengumpul maklumat majikan mengenai berapa sebenarnya keperluan pekerja mengikut industri,
- meneruskan ops ke atas PATI tegar yang enggan pulang,
- menimbang pemberian permit kerja bagi mereka yang masih layak diambil bekerja dengan syarat ada surat perakuan majikan, serta
- memperhalusi mekanisme penjagaan hak serta kebajikan mereka di sini.
3. Pengambilan pekerja Bangladesh ini tidak akan berlaku dalam masa terdekat, kecuali ada keperluan mendesak di pihak industri tertentu misalnya pembuatan dan pembinaan. Kerajaan boleh menimbang mewujudkan sebuah jawatankuasa audit bagi memastikan permintaan majikan adalah tulen, mampu membayar gaji serta faedah yang wajib dibayar, di samping memastikan kebajikan mereka terjamin, tidak seperti masa lalu di mana ramai pekerja yang dibawa masuk terkandas di lapangan terbang dan di tempat-tempat lain kerana penipuan.
4. Walaupun angkanya adalah 1.5 juta, mereka akan dibawa masuk sedikit demi sedikit berdasarkan permintaan. Jika didapati 500,000 orang sudah memadai bagi tempoh 3 tahun yang dimaksudkan, maka pengambilan akan berhenti setakat itu saja. Kerajaan Dhaka maklum akan hal ini. Kita tidak akan melambakkan lagi 1 juta orang di sini jika tidak ada pekerjaan untuk mereka.
5. Kerajaan tidak pernah berniat merampas hak pekerjaan warga tempatan. Pelbagai usaha dan galakan sudah dibuat sejak awal tahun 90an agar kita mengisi sendiri bidang pekerjaan yang ada di negara ini dengan menawarkan gaji dan pelbagai faedah yang menarik, di samping melonggarkan beberapa syarat yang ada.
6. Malangnya, tidak ramai rakyat tempatan yang ingin mengambil peluang ini. Pada peringkat awalnya, mereka lebih berminat bekerja di kilang berhawa dingin tetapi bilangannya menurun selepas tempoh 5 hingga 10 tahun sedangkan makin banyak syarikat asing membuka operasinya di sini. Mahu tidak mahu, kerajaan mengizinkan kemasukan pekerja asing. Pembinaan KLCC pada tahun 1992 membabitkan kira-kira 5,000 pekerja tetapi hanya 10 peratus adalah warga tempatan. Begitu juga pembinaan KLIA, Putrajaya, Cyberjaya dan banyak lagi prasarana yang membabitkan ratusan ribu pekerja asing. Ini termasuklah pembinaan Jambatan Pulau Pinang dan bangunan-bangunan di Putrajaya.
7. Jadi, adalah tidak adil menyalahkan kerajaan dan majikan dalam soal pengambilan pekerja asing ini. Keutamaan tetap diberikan kepada warga tempatan tetapi ada pula di antara mereka lebih rela mengambil kesempatan di atas kehadiran pekerja asing ini dengan makan atas angin. Berapa banyak permit teksi dan lesen perniagaan dipajak atau disewakan secara tidak sah kepada orang asing ini. Malangnya, kerajaan dipersalahkan.
8. Dalam memacu negara ke arah Wawasan 2020, pembangunan mesti diteruskan. Banyak lagi prasarana perlu dibina bagi menyediakan rakyat sebuah kehidupan negara maju yang berpendapatan tinggi. Kita harus berterima kasih kepada rakyat asing yang selama ini terbabit dalam pembangunan negara, dan untuk itu, pengambilan dan pengurusan mereka secara lebih sistematik ini dijangka dapat mengurangkan jumlah PATI secara beransur-ansur dan memastikan kebajikan pekerja sah ini terpelihara, tidak seperti masa silam di mana imej negara terjejas oleh banyak sindiket penipuan.
9. Ingin ditegaskan bahawa bukanlah dasar kerajaan untuk memberi taraf penduduk tetap (PR) serta kerakyatan kepada mana-mana warga asing yang sudah lama bekerja di sini. Mereka hanya datang untuk bekerja dan pulang ke negara asal apabila tempoh sah mereka tamat. Kecuali atas sebab yang munasabah, ia hanya diberi selepas melalui banyak prosedur yang ketat, dan bilangannya tidaklah ramai.
10. Usahlah terlalu cepat membuat pelbagai andaian yang salah dalam isu ini dengan terus menyalahkan kerajaan. Janganlah cepat menuding jari kepada KDN, Imigresen dan Polis di atas kebanjiran PATI jika rakyat kita sendiri melindungi mereka. Jumlah 115,000 anggota polis dan 12,000 kakitangan imigresen tidak mampu menangani sepenuhnya masalah ini jika kita sendiri enggan bekerjasama. Kerajaan sudah menimbang perkara ini dengan mendalam dan seadil-adilnya selepas mengambil kira semua aspek yang ada, termasuk kesan ekonomi dan sosial secara jangka panjang, serta baik-buruknya kepada kita.
Kesimpulannya ialah,
1. 1.5 juta pekerja bangladesh tidak akan dibawa masuk serentak.
2. Jumlah 1.5 juta orang akan dibawa masuk, ia hanya anggaran atau had maksimum. Jika hanya 100 ribu pekerja asing diperlukan, kemasukkan akan terhenti setakat 100 ribu pengambilan pekerja asing sahaja.
3. Pekerja terbabit HANYA AKAN DIBAWA MASUK JIKA terdapat keperluan oleh majikan dan tertakluk kepada kelulusan KDN.
4. Tidak berlaku lambakkan pekerja asing kerana pendaftaran lebih sistematik akan dibuat, pekerja terbabit akan terus pulang ke negara asal, sebaik tamat tempoh permit kerja mereka.
No comments:
Post a Comment