Dalam usaha menyelamat mangsa-mangsa yang terperangkap di atas Gunung Kinabalu atau di Ranau, Kundasang Sabah itu pasukan penyelamat terpaksa menempuh pelbagai rintangan.
Bagi menyelamatkan nyawa orang lain, nyawa mereka sendiri dipertaruhkan. Mungkin ada yang mengatakan, itu sudah menjadi tugas mereka. Memanglah ianya menjadi tugas mereka tetapi mereka juga mempunyai keluarga, anak-anak yang menanti di rumah.
Mereka melakukannya kerana minat dalam menceburi kerjaya penyelamat seperti JPAM, STORM, SMART, Tentera dan lain-lainnya. Mereka juga menyara keluarga dengan pendapatan mereka sebagai ahli pasukan penyelamat itu.
Mereka sendiri tidak mahu kehilangan nyawa atau mendapat kecederaan daripada usaha menyelamat yang dilakukan. Oleh itu dalam usaha menyelamat pengiraan risiko adalah penting. Usaha menyelamat hanya dapat dilakukan jika risiko yang dihadapi tidak membahayakan diri anggota pasukan penyelamat.
Pengalaman Satriasiber berbual dengan anggota penyelamat turut mungkin boleh dikongsikan bagi tatapan bersama.
Menurut seorang ahli pasukan penyelamat yang ditemui, realiti usaha menyelamat bukanlah sebagaimana yang digambarkan dalam filem-filem hollywood mahupun bollywood. Jauh sekali mengikut logika yang mewarnai filem hero tamil.
Dalam keadaan seperti untuk mendaki ke atas sebuah gunung setinggi Gunung Kinabalu dalam suasana gegaran yang masih lagi menjadi ancaman sudah tentulah ianya tidak selancar yang disangka.
Ada ketikanya jalan yang dilalui telah dihalang oleh runtuhan-runtuhan batu yang menghadang. Oleh itu pasukan penyelamat perlu menyahkan apa jua halangan bagi membuka laluan kepada usaha menyelamat. Ini sudah tentu memakan masa dan tenaga.
Ini akan lebih sukar lagi jika halangan sebegini bukan sahaja satu tetapi ada beberapa dan tidak hairanlah sekiranya pasukan penyelamat memakan masa yang lebih lama daripada masa yang normal bagi pendakian yang biasa.
Psikologi mereka yang menjadi mangsa sudah tentulah mereka sangat-sangat mengharapkan pertolongan. Dalam keadaan tertekan seperti kelaparan, keletihan, cedera dan melihat rakan-rakan yang lain cedera atau pun meninggal dunia, mangsa-mangsa ini mendapat ujian tekanan perasaan yang berat. Mereka beranggapan pasukan penyelamat dapat tiba dengan pantas tanpa sebarang halangan.
Jika melihat helikopter pula, mereka beranggapan helikopter itu boleh sampai ke tempat mereka dengan mudah tanpa ada halangan angin atau cuaca yang bakal membahayakan helikopter berkenaan.
Mungkin juga mangsa-mangsa ini tidaklah boleh dipersalahkan dalam suasana berkenaan kerana mungkin kita juga akan berasa tertekan dan mengalami perasaan dan fikiran yang sama.
Namun pada hakikatnya, anggota pasukan penyelamat sudah tentulah bersemangat tinggi dan berhasrat menyelamatkan mangsa-mangsa berkenaan. Apatah lagi mereka dilatih sedemikian rupa.
Oleh itu, usaha pihak tertentu di luar negara memburuk-burukkan usaha pasukan penyelamat Malaysia adalah tidak wajar. Sesetengah mereka ini sememangnya cenderung untuk memburukkan negara walau apa jua isu pun. Kelompok pelancung yang berbogel di atas Gunung Kinabalu pun setelah keluar dari Malaysia mereka memburuk-burukkan Malaysia dan mengeluarkan kata-kata kesat. Ini bukanlah menjadi satu yang menghairankan bagi kelompok yang berbudaya barat sedemikian rupa.
Jika melihat kepada kritikan, pasukan penyelamat Jepun pun pernah kena kritik akibat lambat sampai ke atas gunung dalam satu kejadian kapal terbang terhempas. Kesemua mereka belajar daripada kesilapan masa lalu. Kita pun begitu juga.
Apa-apa pun syabas diucapkan kepada pasukan penyelamat Malaysia yang bertungkus-lumus dalam menjalankan tugas yang digalas. Diharap pihak kerajaan melihat kepada kebajikan mereka seterusnya secara gambaran besar pula melihat kepada sektor keselamatan dalam menghadapi kecemasan dan bencana ini. Harapannya pasukan penyelamat kita boleh menjadi hebat dan menjadi contoh kepada pasukan penyelamat negara-negara lain. Manalah tahu jika satu hari Malaysia dapat memimpin sektor keselamatan awam antarabangsa seperti International Civil Defence Organisation (ICDO). Dengarnya lebih separuh anggotanya adalah negara-negara umat Islam.
No comments:
Post a Comment