Sunday, 10 May 2015

Tiada kubur Rohingya di Malaysia


PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menafikan laporan akhbar bahawa terdapat kem penampungan dan kubur pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya di sempadan Malaysia dan Thailand. 

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Alwi Ibrahim, berkata ia berdasarkan kepada siasatan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa tiada penemuan kem penampungan atau kubur etnik itu dalam kawasan Malaysia.  

"Malaysia disasarkan sebagai negara destinasi bagi kes penyeludupan migran menerusi Thailand yang bertindak sebagai negara transit bagi kegiatan ini," katanya dalam satu kenyataan di sini. 

KDN juga ingin menjelaskan bahawa apa yang dapat dilihat adalah senario semasa di sempadan Malaysia-Thailand, dan ia lebih menjurus kepada aktiviti jenayah penyeludupan migran berbanding dengan jenayah pemerdagangan orang. 

Alwi berkata, jenayah penyeludupan migran membabitkan pergerakan merentasi sempadan negara dan kebanyakan daripada PATI termasuk etnik Rohingya sanggup bersekongkol dan membayar kepada sindiket jenayah untuk diseludupkan masuk ke Malaysia melalui Thailand. 


Katanya, PATI yang diseludupkan melakukan kegiatan itu di atas kerelaan mereka sendiri dan bukannya mangsa. 

Alwi berkata, kegiatan penyeludupan migran termasuk PATI membabitkan sindiket dari Malaysia dan Thailand yang mengaut pendapatan lumayan daripada aktiviti itu telah lama berlarutan dan adalah satu cabaran kepada agensi penguatkuasaan di negara ini. 

Katanya, faktor muka bumi di sekitar sempadan Malaysia dan Thailand yang terdedah menjadi satu laluan mudah bagi sindiket penyeludupan migran menjalankan kegiatan mereka. 

Beliau juga berkata, seramai 67 PATI warga Myanmar berjaya ditahan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) di pintu sempadan negara di Bukit Kayu Hitam, Kedah, pada Khamis lepas. 

"Pada hari yang sama juga seorang rakyat tempatan ditahan atas kesalahan mengikut Seksyen 26(A) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 ketika cuba menyeludup 12 PATI Kemboja ke Pulau Pinang," katanya. 

Sehubungan itu, Alwi mahu agensi penguat kuasa terutamanya di sempadan daratan Malaysia dan negara jiran mempertingkatkan kesiapsiagaan dalam menangani jenayah itu walaupun mempunyai ciri-ciri yang berbeza. 

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...